U follow me, I follow U.

Suka tak?

Thursday, January 17, 2008

Kejatuhan Syogun Tokugawa

Pengenalan

Pada tahun 1600, Iyeyasu telah berjaya mengalahkan musuh-musuhnya dalam pertempuran Sekigahara dan atas kejayaannya itu maka pada tahun 1603, Maharaja Jepun memberi gelaran “Shogun” kepadanya. Dengan ini lahirlah pemerintah Shogun dari keluarga Tokugawa. Setelah mendapat kuasa secara perlahan-lahan Shogun Tokugawa mengambilalih kekuasaan dari Maharaja sehingga Shogun Tokugawa yang benar-benar berkuasa di Jepun. Pusat pentadbiran telah dipindahkan ke Yedo sementara Maharaja ditempatkan di Kyoto dan tidak dibenarkan bergiat dalam urusan pentadbiran.



Faktor kejatuhan Shogun Tokugawa
1. Peranan saudagar dan perubahan corak sosial

Salah satu faktor yang membawa kepada kejatuhan Shogun Tokugawa ialah peranan golongan saudagar dan berlakunya perubahan corak sosial di Jepun. Pada abad ke-18, sistem politik dan sosial di Jepun mulai berubah akibat sistem ekonomi wang yang menggantikan sistem tukaran barang. Oleh sebab pentingnya ekonomi wang menyebabkan kedudukan golongan saudagar menjadi golongan yang berpengaruh dalam masyarakat dan sebaliknya golongan daimyo (bangsawan) dan samurai (pahlawan) mulai merosot. Ramai golongan daimyo dan samurai telah meminjam wang dari golongan saudagar hinggakan mereka terikat dengan hutang-piutang. Juga ramai dari golongan daimyo dan samurai menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Keadaan ini menyebabkan menjelang abad ke-19, tidak ada perbezaan taraf antara saudagar dengan daimyo dan samurai. Dengan ini sistem feudal terhapus dengan sendirinya.

2. Menentang dasar isolasi

Golongan saudagar juga tidak setuju dengan dasar isolasi menindas Tokugawa. Dengan dasar isolasi bermakna saudagar-saudagar tidak mendapat pasaran yang luas bagi barang-barang dagangan mereka. Oleh sebab itu, mereka ingin supaya diadakan hubungan dengan dunia luar kerana ini akan menguntungkan mereka. Berdasarkan perkara itu, golongan saudagar asing bekerjasama dengan golongan anti-Tokugawa golongan menentang Shogun Tokugawa seperti yang dilakukan oleh saudagar-saudagar di bandar Osaka.

3. Perasaan kebangsaan/fahaman shintoisme

Sebab lain ialah munculnya semangat kebangsaan dan fahaman shintoisme. Semangat hotmat dan taat kepada Maharaja hidup kembali. Akibat tindakan Tokugawa menggalakkan orang-orang Jepun terutama golongan samurai mengkaji sejarah dan sastera Jepun kuno. Sungguhpun tindakan ini untuk kebaikan negeri Jepun tetapi kesannya menjejaskan kedudukan Tokugawa sendiri. Hasil dari kajian mereka dan mengikut fahaman (kepercayaan Shinto) bahawa Maharaja Jepun adalah keturunan Dewi Matahari (Amitorasu). Berdasarkan kepercayaan tersebut orang Jepun berpendapat Maharaja yang harus berkuasa dan dihormati. Dengan ini muncul golongan yang ingin mengembalikan kekuasaan Maharaja dan menjatuhkan Tokugawa.

4. Tekanan ekonomi

Kedudukan Shogun Tokugawa semakin terjejas bila berlakunya tekanan ekonomi. Pada abas ke-18 dan ke-19 merupakan zaman kejatuhan ekonomi. Penduduk Jepun telah bertambah dan ini menyebabkan berlakunya kekurangan makanan. Untuk atasi masalah tersebut, petani-petani telah dikerah supaya dapat hasilkan keluaran pertanian berlebihan. Hal ini menjadi beban kepada petani-petani yang terpaksa bekerja lebih kuat. Penghidupan petani-petani semakin susah apabila adanya cukai-cukai.

5. Tentangan suku kaum dari Barat

Perasaan benci terhadap Tokugawa tidak sahaja dari petani-petani yang tertindas terutama dari suku kaum dari Barat iaitu Satsuma, Choshu, Toza dan Hizen. Tokugawa berkuasa tetapi wilayah kekuasaan Tokugawa sekitar Yedo sedangkan wilayah-wilayah lain tidak dapat diletakkan secara langsung. Oleh sebab itu suku kaum-suku kaum tersebut dapat bertindak balas. Mereka sedar tanpa persekutuan suku kaum yang lain mereka tidak dapat mengalahkan Tokugawa. Oleh itu, mereka telah bersatu dan tindakan selanjutnya ialah menyokong Maharaja yang ketika ini ditindas oleh Tokugawa.

6. Fedatangan Barat

Faktor yang membawa kepada kejatuhan Tokugawa juga disebabkan oleh kedatangan Barat. Pada tahun 1853, Commodore Perry dari Amerika tiba di Jepun dengan tujuan mengadakan hubungan perdagangan dan mendapat jaminan keselamatan anak-anak kapal Amerika. Disebabkan bimbang terhadap ancaman Amerika maka pada tahun 1854, Perjanjian Kanagawa ditandatangan antara Perry dengan Tokugawa. Kemudian perjanjian dengan Rusia dan Perancis juga dibuat. Tindakan Tokugawa itu telah menjadi kemarahan rakyat Jepun termasuk beberapa golongan dari keluarga Tokugawa sendiri.

Peristiwa ini digunakan oleh musuh Tokugawa untuk menggugar kedudukan Tokugawa. Suku kaum dari Barat telah menjalankan tindakan anti-Barat. Pada tahun 1862, seorang Inggeris bernama Richardson mati dibunuh oleh putera Satsuma. Pada tahun 1863, kaum Choshu telah menembak kapal-kapal Barat di Selat Shimonoseki. Sebagai tindakbalas, pada tahun 1863, Inggeris menyerang Kagoshima kediaman Satsuma. Kemudian pada tahun 1864 angkatan laut bersekutu iaitu Inggeris, Amerika, Perancis dan Belanda menyerang Choshu di Selat Shimonoseki.

Pihak Barat telah menyalahkan Tokugawa berikutan berlakunya peristiwa-peristiwa anti-Barat. Keadaan ini menyebabkan pada tahun 1866, Tokugawa telah menghantar tenteranya untuk menyerang Choshu tetapi malangnya tentera Tokugawa telah dikalahkan. Kedudukan Tokugawa semakin runcing apabila kaum Toza telah bersatu dengan Choshu dan Satsuma untuk menentang Tokugawa. Memandangkan adanya tekanan-tekanan dan desakan-desakan dalam negeri maka Shogun Keiki bersetuju meletakkan jawatan. Pada bulan November 1867, kekuasaan telah diserahkan kepada Maharaja Meiji. Dengan ini, tamatlah Shogun Tokugawa di Jepun.



Kesimpulan
Faktor dalam negeri merupakan faktor utama yang membawa kepada kejatuhan Tokugawa. Shogun Tokugawa telah berjaya berkuasa kira-kira lebih dari dua abad setengah. Pada peringkat awal pemerintahan Tokugawa telah mencapai beberapa kemajuan. Tetapi kejayaan lebih besar telah dicapai semasa pemerintahan Meiji. Dalam zaman Meiji, Jepun mula memasuki dunia moden dan dalam masa yang sangat singkat Jepun mencapai taraf yang sama dengan negara-negara Barat, baik dalam bidang ekonomi mahupun dalam bidang ketenteraan.

No comments:

Jom Baca!