U follow me, I follow U.

Suka tak?

Monday, March 7, 2011

Darjah Dua



Gambar ini dengan pastinya dirakam masa aku darjah 2. Secara jujurnya aku tak dapat ingat beberapa nama dalam gambar ni. Tapi ada sesuatu yang boleh diceritakan pada tahun 1997 ni.

Zaman ni aku takda la nakal sangat pun. Senyap je. Waktu ni boleh dikatakan pertama kali aku kenal erti persahabatan. Aku berada dalam kelas 2 Ros. Aku pun tak tahu kenapa aku dicampakkan ke kelas pertama ni. Padahal aku cuma dapat nombor 8 je sewaktu di darjah 1 Seroja.

Dalam gambar ni, nampak tak makhluk yang pakai baju kurung merah tu? Namanya Cikgu Aminah. Aku selalu tersilap panggil dia Cikgu Ros. Cikgu ni pernah mengajar aku sewaktu di darjah 1 dulu. Jadi bila dia tiba-tiba menjadi guru kelas aku sewaktu di darjah 2, terasa hampir reput tulang aku ni haa. Punyalah garang. Aku berdiri salah, aku duduk pun salah, tulisan aku buruk salah, aku berlari-lari salah, aku usik kawan pun salah, boleh dikatakan hampir semua yang aku buat, semua salah. Haha. Yang pasti cikgu ni penyumbang utama yang mengajar aku cara untuk menahan caci maki dengan senyuman. Hahaha.

Kelas aku ni berdepan dengan padang sekolah. Waktu yang ditunggu-tunggu oleh kami adalah waktu rehat! Sebabnya, permainan yang paling popular pada waktu tu adalah Konda-Kondi. Kami rela tak makan sepanjang hari semata-mata nak main permainan tu. Ada sehari tu, habis baju aku kotor sebab banyak kali terjatuh sewaktu bermain. Kena pulak masa baru lepas hujan. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki kene lecak.Balik ja rumah, terus nenek aku tak bagi masuk rumah. Waktu ni lahirlah satu peribahasa ke alam nyata yang nenek aku buat sendiri berbunyi :

"Biar miskin asal bergaya".

Nenek aku memang tak suka aku pakai baju kotor walaupun sedikit. Kalau kasut aku koyak pun, cepat-cepat dia suruh mak aku belikan aku kasut baru. Tapi aku lagi suka pakai kasut koyak. Bagi aku selagi baju, seluar atau kasut tu boleh dipakai, aku takkan beli baru. Sebab tu korang asyik tengok aku pakai baju sama ja. Sebab baju aku memang tak banyak.

Satu lagi permainan yang popular pada waktu ni adalah Gasing. Tapi disebabkan permainan Gasing ni diharamkan di sekolah kebangsaan, kami cuma bermain Gasing di sekolah agama. Sekolah bermula pada 2.30 petang. Tapi pukul 1.45 kami dah terpacak kat sekolah semata-mata nak main gasing. Oleh sebab waktu sekolah tamat pada jam 6.30 petang, tak banyak masa yang kami dapat luangkan bersama. Jadi kami cuma akan bermain di sekolah.

Perasan tak, dalam gambar di atas, aku tak butangkan dua butang atas? Sebenarnya aku kene tipu dengan seorang perempuan. Dia kata kalau nak nampak kacak, kene tunjuk dada dan buat senyuman menggoda serta rambut disikat belah tepi. Sepanjang tahun 1997 ni memang aku tak butangkan dua butang atas. Haram seorang perempuan pun tak nak dekat ngan aku. Banyak kali aku kene tengking dengan Cikgu Aminah tu di atas perlakuan tak senonoh aku ni. Hahaha. Ingatkan aku seorang ja kene tipu, rupa-rupanya orang yang berdiri paling hujung sebelah sana pun dua kali lima juga dengan aku. Sama-sama kena tipu.

Dalam gambar ni ada gambar seorang rakan. Dia adalah rakan pertama yang bagi aku hadiah sewaktu hari jadi aku. Hadiahnya adalah sebuah/sekeping/sehelai 'Wau' yang dia buat sendiri. Uhuuu.. Terkejut juga aku. Terima kasih! Sampai sekarang aku ingat jasanya. Waktu ni baru aku kenal erti persahabatan dan pentingnya seorang sahabat. Aku selalu balik ke rumah bersamanya memandangkan rumah aku dan rumahnya lalu di jalan yang sama. Kini dia adalah seorang graduan daripada UiTM dalam bidang Muzik.


Nak cerita semua, memang sampai tahun depan pun takkan habis. Biarlah kenangan di Darjah 2 ni kekal terpahat dalam ingatan. Yang pasti dalam gambar-gambar ni, ada gambar seorang bakal Jurutera, Guru, Arkitek, Juruukur, Akauntan, Juruteknologi Industri, Ahli Muzik dan sebagainya. Bagi aku, waktu sekolah rendah bukan untuk belajar, tapi untuk kita belajar erti hidup. Belajar untuk bergaul dan memahami orang lain.



No comments:

Jom Baca!