U follow me, I follow U.

Suka tak?

Wednesday, June 15, 2011

Ustazah Pilihan - Muslimah 'Diperdagang"




*Sila baca ulasan bagi artikel yang diBOLDkan di bawah*

Astro Oasis meneruskan kesinambungan menghasilkan sebuah lagi program realiti keagamaan namun kali ini menjurus kepada pencarian pendakwah wanita yang dinamakan Ustazah Pilihan.



Uniknya, program realiti yang bakal memulakan sesi uji bakat bulan depan dan menemui khalayak pada 1 Oktober ini akan membabitkan sepenuhnya penyertaan golongan hawa, bermula dari kakitangan penerbitan, mursyidah, juri hingga kepada penyertaan penonton di studio sekali gus menjadi satu-satunya rancangan televisyen yang menonjolkan penguasaan wanita.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, berkata Ustazah Pilihan bakal mencetuskan fenomena seperti Imam Muda apabila melahirkan ikon muslimah sejati yang mampu memikul tanggungjawab besar sebagai pembimbing, pendidik dan pembentuk pemimpin generasi masa depan, sekali pun di bahu sudah tersedia peranan ibu dan isteri rumah tangga.

“Inilah sebahagian tanggungjawab sosial Astro Oasis terhadap masyarakat dan agama, iaitu membuka peluang setara kepada wanita mengembangkan kebolehan mereka dalam aktiviti dakwah menerusi penyediaan landasan iaitu berada di dalam akademik dengan memberi pendedahan yang lebih kontemporari bersesuaian keperluan semasa.

“Lebih menarik lagi apabila Ustazah Pilihan akan dihasilkan sepenuhnya oleh golongan hawa dan secara simboliknya menunjukkan kuasa wanita dalam menerajui segala macam bidang tidak terkecuali dalam penyebaran dakwah Islam kepada seluruh masyarakat khususnya untuk golongan mereka sendiri,” katanya pada majlis pelancaran Ustazah Pilihan.

Pelancaran program yang turut meraih kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Dalam merealisasikan misi ini, pihaknya mempelawa wanita muda berusia lingkungan 18 hingga 27 tahun untuk menyahut cabaran menyertai sesi uji bakat di empat negeri iaitu Kedah, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur, yang memerlukan calon yang berkebolehan dalam komunikasi, berilmu, berpegang kukuh kepada agama, berdaya fikir tinggi serta matang.

Sementara itu, Dr Mashitah berkata, barisan pelapis untuk pendakwah sedia ada itu diharap mampu menangani permasalahan atau isu yang dikemukakan terutama yang membabitkan golongan hawa kerana ada di antara kelompok wanita yang sukar dikongsi dan malu untuk mendapatkan pandangan berhubung sesuatu perkara kepada pendakwah yang berlawanan jenis daripada mereka.

“Kita tidak menafikan peranan pendakwah lelaki, cuma ada di antara wanita yang lebih selesa mengadu atau bertanyakan sesuatu isu termasuk soal agama kepada kaum mereka sendiri disebabkan perasaan segan. Di sinilah tanggungjawab pendakwah wanita yang mudah didekati kelompok mereka sendiri dan tiada jurang pemisah antara mereka.

“Tambahan pula sekarang kita kekurangan pelapis muda yang boleh mengambil alih atau mengisi ruang yang ditinggalkan sementara oleh pendakwah wanita senior yang akan melalui kitaran hidup insan - berkahwin, hamil dan melahirkan. Justeru setiap ruang ini perlu diisi apatah lagi dalam sesebuah majlis atau program di TV, balik-balik wajah individu sama diundang.

“Peluang sebegini tidak harus dilepaskan oleh bakat muda di luar sana. Usaha yang dilakukan Astro Oasis ini wajar diberi pujian kerana mereka mencungkil pelapis yang mampu meneruskan kesinambungan penyebaran syiar Islam dengan membuka ruang serta peluang,” katanya mengenai program yang akan memilih 10 muslimah sebagai calon peserta itu.

Menerusi Ustazah Pilihan itu, 10 peserta yang terpilih akan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi meneruskan pembelajaran amali dan praktikal yang diperlukan sepanjang lapan minggu di akademi, yang bertujuan memantapkan pengetahuan dari aspek keagamaan, hal ehwal teknologi, kewangan, kemasyarakatan serta kekeluargaan.

Mereka akan diberikan tugasan tertentu sepanjang minggu berlandaskan format kitaran kehidupan yang membabitkan isu semasa berkaitan wanita manakala pendekatan yang digunakan pula harus relevan dengan realiti wanita zaman kini, malah markah diberikan bersandarkan kedua-dua kerja iaitu hasil kerja kumpulan serta kesungguhan individu itu sendiri.

sumber: realiti melayu.

ULASAN :

1.Ustazah Pilihan

- Penggunaan nama program yang sangat tidak sesuai! Perkataan 'ustazah' yang digunakan seakan-akan rancangan ini membawa nama Islam secara keseluruhannya.

2.Membabitkan sepenuhnya penyertaan golongan hawa, bermula dari kakitangan penerbitan, mursyidah, juri hingga kepada penyertaan penonton di studio sekali gus menjadi satu-satunya rancangan televisyen yang menonjolkan penguasaan wanita.

- Tahniah kerana berjaya mewujudkan satu-satunya program yang menonjolkan penguasaan wanita. Benarkah? Bukankah ia ditonton di televisyen? Mungkinkah lelaki tidak akan menonton rancangan ini? Mungkin yang menonton, majoritinya adalah lelaki!

3.Pendedahan yang lebih kontemporari bersesuaian keperluan semasa

- Pendedahan kontemporari yang berbentuk apa tu? Mendedahkan para muslimah untuk mencari nama? Mendedahkan muslimah untuk menjadi buah mulut orang ramai?

4.mempelawa wanita muda berusia lingkungan 18 hingga 27 tahun

- Muda! Mesti ramai lelaki yang tak sabar nak menonton. Kalau tujuannya untuk menarik penonton, takkan lah nak mempelawa makcik-makcik untuk join kot. Tapi kalau yang jadi pesertanya muda-muda pastinya akan menimbulkan fitnah. Mungkin yang cantik dan ada ciri-ciri 'marketing' saja akan dipilih kan. Boleh tuju lagu? Hahaha.

Bagi aku, rancangan ini lebih bermotif kepada mencari populariti dan keuntungan dengan memperguna dan 'memperdagangkan' muslimah. Kesian bakal peserta nanti. Bukan sahaja terpaksa menjual maruah mereka, malah menjadi buah mulut segenap lapisan masyarakat khususnya lelaki.

Namun program ini masih belum ditayangkan lagi. Nak kritik pun masih terlalu awal kerana hanya bersumberkan 'cakap-cakap' orang dan sinopsis program. Lepas ditayangkan, pastinya program Tilawah Al-Quran di RTM akan kekurangan penonton. Tapi apa yang pasti, muslimah akan didagangkan!! Terima kasih Astro.

p/s: Lepas ni program apa pulak? Nenek Pilihan? hahaha.

1 comment:

Hanif said...

masing2 punya niat..kalau baik ..baiklah dia

Jom Baca!