U follow me, I follow U.

Suka tak?

Tuesday, July 19, 2011

Mazhab Firauni?

TERDAPAT satu tanggapan yang sangat dangkal, cetek dan purba bahawa umat Islam harus menganuti hanya satu mazhab sahaja. Tanggapan ini tentulah meleset dan jauh kesasar jika direnungi sejarah umat Islam yang ada sejak zaman lampau. Sebenarnya, di dalam Islam bukan ada empat mazhab fikah sahaja. Malahan sebenarnya, kurang-kurang, ada sembilan mazhab fikah. Hari ini, ia tidak diketahui atau kurang dikenali, pertama; kerana ulama mazhab tersebut tidak menulis kitab-kitab yang signifikan justeru tiada pengikut, dan kedua; mazhab fikah tersebut tidak mendapat dukungan pemerintah*. Akan tetapi itu tidak bermakna mazhab fikah itu boleh dianggap salah dan harus dibasmi serta dibanteras sehingga pengikutnya dipaksakan menganut mazhab tertentu sahaja.

Mazhab-mazhab fikah yang sembilan itu ialah; mazhab fikah Imam Zayd ibn Ali Zayn al Abidin, mazhab Ja’fari atau mazhab Imam Jaafar as Sadiq, mazhab Hanafi atau mazhab Imam Abu Hanifah an-Nu’man, mazhab Maliki atau mazhab Imam Malik bin Anas, mazhab Syafie atau mazhab Imam Muhammad Idris as Syafie, mazhab Hanbali atau mazhab Imam Ahmad bin Hanbal, mazhab al Laits bin sa’ad, mazhab Imam Ibnu Hazm, mazhab Imam al-‘Izz ‘Izzuddin Abdul Azis bin Abdissalam.

Di sini saya ingin berkongsi dengan pembaca pandangan Dr Abdul Majid al Najjar dalam bukunya yang berjudul Dawru Hurriyyah al Ra’y fi al Wehdah al Fikriyyah Baina al Muslimin atau ‘Kebebasan Berpendapat dan Penyatuan Pemikiran Umat Islam’. Ia sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Mufti Labib. Dr al Najjar mengatakan; ‘Semua jenis mazhab adalah kesan sejarah lama. Pada hakikatnya, mazhab tidak lain daripada visi bebagai-bagai jenis cara beragama dalam Islam, iman, akidah, perilaku dan syariah. Mazhab merupakan ijtihad tentang cara untuk melaksanakan agama, di mana terjadi interaksi nas-nas wahyu dengan keadaan dan situasi semasa yang sedang berlangsung dalam kehidupan umat Islam pada masa perkembangannya mengalami kebuntuan kerana kekangan politik. Namun halangan itu bukan selamanya kerana kekerasan politik, tetapi kadang-kadang kerana kurangnya kesedaran Islam.’

Poin saya seterusnya, masih mengutip al Najjar, saya ingin mengingatkan bahawa hari ini adanya pemaksaan satu mazhab tertentu yang tidak boleh dikompromi ke atas masyarakat. Mengulas keadaan itu, kata Dr al Najjar, hujah bahawa masyarakat mesti mengamalkan satu sahaja mazhab atas alasan sadd al dhara’i al fitnah atau menutup pintu fitnah, atau alasan sadd al dhara’i al furqah yakni menutup pintu perpecahan; adalah alasan murahan yang diamalkan oleh kepimpinan penindas dan pemaksa yang diberi keizinan mengikut undang-undang.

Kemudian ada pula alasan al akhdhu bi al Ahwat, maksudnya mengambil yang lebih berhati-hati. Semua alasan pemerintah di atas adalah semata-mata untuk memaksakan satu aliran mazhab. Dr al Najjar berpandangan, alasan-alasan itu semua palsu, kerana tujuan sesebuah pemerintahan (nota saya: seperti terlihat pada era Abbasiyyah) memaksakan satu mazhab ialah untuk tidak ‘membahayakan kekuasaan mereka’.

Adakah ini wajar? Iaitu merampas akal sihat dan bebas manusia untuk dipaksakan dengan satu aliran atau mazhab tertentu?

Jawapan saya tidak wajar, berdasarkan ayat al Quran, ayat 130 dan 131 surah al A’raf, terjemahannya: ‘Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran. Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: “Ini ialah hasil usaha kami”, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui’.

Ayat-ayat di atas menggambarkan betapa parahnya akal kaum Firaun yang kebebasannya telah dikekang, dirampas dan dipaksakan untuk menunjangi satu sahaja aliran iaitu ‘ketuhanan Fir’aun’. Mereka akan menghalang fakta berlawanan. Apabila ini berlaku, akal akan bercerai berai dalam menafsirkan setiap kejadian justeru mereka tidak dapat mencapai sebab-sebab sebenarnya.

Jelaslah, metod Fir’aun tidak ada bezanya sebagai misalan dengan media barat yang manipulatif dan inginkan maklumat satu hala sahaja. Media barat akan membataskan dan memaksakan ruang lingkup dalam pilihan mereka sahaja. Inilah metod Fir’aun yang dilakukan oleh mana-mana pemerintah yang dengan sengaja memaksakan satu mazhab sahaja kepada masyarakat. Akibatnya masyarakat menjadi pak turut, tidak menggunakan akal, beku pemikiran dan seterusnya menuju kehancuran seperti yang sudah dipugar kaum Fir’aun dalam ayat-ayat yang saya ketengahkan tadi.

Hari ini seruan perpaduan mazhab-mazhab yang ada dalam Islam mengatasi kecetekan dan kekerasan yang dikekang oleh pemerintah. Umat Islam harus berdepan dengan musuh yang lebih besar dalam bentuk penjajahan budaya barat dan juga cengkaman Zionis. Oleh kerana itu, kesatuan dalam kepelbagaian amat diraikan. Sementara kekerasan dalam kepelbagaian amat dikecam.

Sebagai panduan, pegangan umum penganut Ahlus sunnah wal jamaah hari ini tentang perpaduan ummah, dapat disandarkan kepada salah seorang rektor al-Azhar, Profesor Dr. Ahmad at-Thayyib yang menyatakan: ‘Kami (al-Azhar) membukakan jendela rumah kami untuk berbagai macam cakerawala pemikiran seluas-luasnya, tanpa harus terpengaruh dan mengikuti pemikiran-pemikiran tersebut secara taklidi atau ikut-ikutan.’

Sementara pandangan umum penganut Syiah tentang perpaduan ummah dapat disandarkan kepada salah seorang ulama besar Syiah, Ayatullah al-'Uzma Syeikh Wahid Khorasani dalam sebuah fatwa pada tahun 2008 yang menyatakan: ‘Sesiapa saja yang bersaksi terhadap keesaan Allah (swt) dan bersaksi terhadap risalah kenabian Nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad (saw), maka sesungguhnya dia adalah seorang Muslim. Jiwa, kehormatan diri dan hartanya adalah terpelihara dan wajib dilindungi sama seperti jiwa, kehormatan diri dan harta seorang yang mengikuti mazhab Ahlul Bait. Kewajiban syar’i anda adalah bersikap baik dan penuh rasa hormat terhadap sesiapa sahaja yang mengucapkan dua kalimah syahadah, meskipun mereka menganggap anda sebagai kafir’.

Itulah tuntutan hari ini untuk umat dari dua mazhab terbesar dalam Islam. Namun begitu kita tidak menafikan terdapatnya kumpulan yang menolak perpaduan ummah dan kumpulan duri dalam daging ini tidak sukar untuk kita kenali.

Imam besar Masjidil Haram Makkah al-Mukarramah iaitu imam kulit hitam pertama Masjidil Haram, Syaikh Adil ibn Salim al-Kalbani dalam siaran BBC edisi bahasa Arab pada 4 Mei 2009 menyatakan: ‘Saya sendiri memandang para ulama mereka, Syiah adalah orang-orang kafir tanpa pengecualian.’ Kenyataan mengkafirkan 400 juta umat Islam tersebut tentulah lapuk dan ketinggalan zaman. Ia tidak membawa semangat perpaduan hari ini.

Puluh tahun lalu, Pendita Za’ba menulis dalam bukunya ‘Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri’ tentang keperluan merenungi semula mazhab yang kita pegang: ‘Kerana tiada syak sekali-kali bahawa pemahaman akan sesuatu kebenaran, baik agama atau lainnya, dalam satu-satu zaman tentulah berkehendak kepada disemak kembali, diperiksa dan dibaharui dengan corak-corak baharu yang sesuai dengan semangat zaman itu. Sebarang kebenaran adalah selalu berhajat kepada dibaharui pemahamannya dalam tiap-tiap zaman menurut istilah pengalaman-pengalaman baharu’.

Pandangan terkehadapan Za’ba tersebut sangat benar. Hanya dengan semangat perenungan kembali itu kita umat Islam akan menggunakan akal dan tidak menjadi beku jumud sepertinya umat Firaun yang terkongkong oleh satu mazhab iaitu ‘mazhab Firauni’.

* Justeru kebanyakan mazhab-mazhab ini pupus, dan hanya tinggal lima yang dominan.


sumber : FT

2 comments:

Zuha said...

haih...x elok menghukum terlalu awal...bukankah ada tolenransi untuk orang2 sesat ni...kat indon sampai membunuh orang kafir tau...betapa ekstrimisnye diorang...haih...nice n3

http://mat-jungle.blogspot.com/

Mohd Areef said...

bukan sahaja di sana..
di malaysia pun ada..
tp 'membunuh' dengan cara yg lain..

Jom Baca!