U follow me, I follow U.

Suka tak?

Monday, December 5, 2011

Ringkasan Tragedi Karbala


Apabila memasuki bulan Muharram, kebanyakan penganut agama Islam , hanya akan terfikir perkara seperti awal Muharram, yang mana peristiwa Hijrah Nabi(s) di sambut. Pada tarikh 10 Muharram pula, tanpa bersandarkan kepada hadis-hadis atau atsar-atsar yang sahih, mahupun Hasan, satu perayaan disambut pada hari itu. Makanan di masak, kenduri diadakan. Di negara kita contohnya, bubur Asyura, bukanlah satu perkara yang asing.

Sedikit sekali dari kita yang menyedari, bahawa terjadi satu peristiwa yang besar pada bulan ini, satu tragedi yang menyayat hati telah berlaku, yang mana junjungan besar kita, Rasulullah(s) sendiri menangis di tempat dan waktu yang berbeza-beza mengenangkan tragedi ini. Bukan sahaja baginda, malah Ahlulbait(a) dan para sahabat baginda yang setia, menangisi, meratapi tragedi menyayat hati ini.

Dalam keadaan mereka, yang menjadi contoh ikutan kita, bersedih dan berkabung untuk peristiwa ini, bagaimana kita, yang mengaku sebagai pengikut ajaran mereka, boleh bergembira, bersenang lenang di bulan yang malang ini?

Dalam bulan ini, anakanda baginda(s) telah dibunuh. Dalam bulan ini, penghulu pemuda syurga telah dipancung kepalanya. Dalam bulan ini, raihan kepada Sayyidul Anbiya, telah diinjak-injak dengan kuda, milik mereka yang mengaku sebagai ORANG ISLAM! Laknat Allah ke atas mereka semua.

Sebagai orang yang menjadi pengikut baginda(s), elok kiranya kita menyebarkan tragedi ini, sebagai tanda penghormatan kepada pengorbanannya, sebagai tanda kasih dan cinta kepada Nabi(s). Yang paling penting, sebagai bayaran upah kepada Risalah yang dibawa oleh Rasul(s). Firman Allah swt di dalam Surah al-Syura (42):23 “Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun selain mencintai dalam kekeluargaan (ku)”

Pengangkatan Yazid

Selepas kematian Khalifah Muawiyah, Yazid, anaknya yang berumur 30 tahun berjaya mengangkat dirinya sebagai khalifah. Pada awalnya, masyarakat enggan menerima beliau sebagai pengganti Rasulullah(s) dan umat Islam, namun Yazid berjaya mendekati masyarakat di Masjid untuk memenangi hati dan sokongan mereka. Seperti bapanya, Muawiyah, Yazid menggunakan berbagai cara seperti sogokan, paksaan, tekanan, ugutan dan kekerasan untuk memaksa rakyat memberi bay’ah padanya. Ramai orang yang merasa risau, kerana ancaman kepada nyawa dan sumber rezeki mereka sangat tinggi. Oleh itu, mereka dengan rasa berat hati dan gundah gulana, memberi apa yang beliau mahu. Namun begitu, Imam Hussain(a) dan Bani Hasyim, yang mengamalkan Islam dengan sebenar-benarnya, tidak mengalah kepada paksaan ini. Sebagai wakil yang sah kepada Nabi Muhammad(s), Imam Hussain menolak mentah-mentah untuk menerima Yazid sebagai pemimpin Islam dan umat Islam. Walaupun beliau berhadapan dengan angkatan ketenteraan Yazid yang menggerunkan, beliau tetap teguh berdiri di jalan yang dipilihnya, jalan kebenaran, menentang Bani Umayyah.

Yazid telah melantik Walid ibn Utbah, gabenor beliau di Madinah, untuk mengambil perjanjian taat setia dari Imam Hussain(a), atau memberi kepala beliau pada Yazid. Oleh itu, Walid menjemput Hussain demi tujuan itu, bagaimanapun Hussain tidak memberikan kata putus dalam pertemuan itu, dan membawa keluarga beliau keluar dari Madinah menuju ke Makkah. Apabila Al Hussain sampai ke Makkah, beliau telah menerima 12,000 surat dari Kufah, yang mempelawa beliau ke Kufah, untuk menjadi pemimpin mereka. Demi megesahkan lagi pelawaan ini, Al Hussain(a) telah menghantar wakil beliau, yang juga merupakan saudaranya, Muslim bin Aqil ke Kufah. Dalam masa yang sama, Yazid telah menggerakkan dan mengaturkan jaringan agen dan pengintipnya untuk membunuh cucunda Rasul(s) ketika beliau sedang menunaikan Haji. Imam Hussain mengetahui tentang para pengintip ini, dan dengan teliti, menganalisis situasi di Makkah. Beliau mengetahui bahawa Yazid bukanlah seseorang yang mempunyai nilai-nilai Islami, dan akan buat apa sahaja untuk menguatkuasakan pemerintahannya. Imam Hussain juga mengetahui bahawa memberi perjanjian taat setia(bai’ah) kepada penipu seperti Yazid, akan membahayakan lagi Islam. Oleh itu, beliau meninggalkan Makkah dan menuju ke Kufah untuk bersiap sedia, akan konfrontasi dengan Yazid dan tenteranya.

Ramai para sahabat dan ahli keluarga beliau, menasihatkan Imam Hussain agar tidak pergi ke Kufah, namun beliau berkeras untuk melakukannya. Maka bergeraklah mereka, ahli keluarga dan para sahabat Imam Hussain(a) menuju Kufah, yang sejauh 1,100 batu dari Makkah. Mengharungi kehangatan musim panas, di sahara.


Perjalanan Ke Karbala

Di dalam perjalanan awal ke Kufah, kafilah Imam Hussain(a) bertemu al Farazdaq, seorang penyair terkenal di tempat bernama al Sifah. Al Farazdaq menasihatkan Imam agar tidak pergi ke Kufah, kerana walaupun hati mereka bersama Imam, tetapi pedang mereka adalah mengarah kepada Imam(a). Bagaimanapun, Imam Hussain(a) tetap meneruskan perjalanan, dan beliau telah menerima berita baik, dari utusan Muslim Ibn Aqil. Surat dari Muslim Ibn Aqil menunjukkan masyarakat telah lebih dari bersedia untuk menyambut kedatangan Imam di Kufah serta menerima kepimpinan beliau. Imam Hussain, kemudiannya menghantar seorang lagi utusan kepada Muslim. Kafilah Imam Hussain tetap meneruskan perjalanan ke Kufah. Beberapa hari berlalu, Imam tidak lagi menerima respon dari Muslim ibn Aqil.

Di Kufah, dengan bantuan Mukhtar Al Thaqafi dan Hani Ibn Urwah, Muslim terus mengadakan mesyuarat secara rahsia dengan para pengikut Imam Hussain(a). Dalam masa yang singkat, pertemuan ini menghasilkan satu momentum yang kuat di kalangan para pengikut Imam Hussain(a). Yazid, melalui para pengintipnya, telah berjya mengetahui kejayaan ini. Sebagai tindak balas, beliau telah melantik Ubaidillah ibnu Ziyad, seorang yang berpewatakan kejam, sebagai gabenor Kufah, untuk menggantikan Nu’man ibn Al Bashir, yang dirasakan tidak efisien dalam menanggani pergerakan ini.

Sementara itu, apabila kafilah cucunda Nabi(s) semakin menghampiri Kufah, di suatu tempat bernama Zubalah, Imam Hussain telah menerima satu berita yang sangat mengejutkan. Muslim ibn Aqil, bersama Hani Ibn Urwah, telah ditahan dan dipancung kepala mereka, oleh gabenor baru, Ubaidillah ibn Ziyad. Mukhtar at Thaqafi juga turut ditahan dan dipenjarakan oleh beliau.

Imam Hussain telah mengumpulkan para pengikutnya dan menceritakan berita buruk ini dengan berkata: “Para pengikut kita telah meninggalkan kita, bagi kalian yang memilih untuk meninggalkan kami, bolehlah melakukannya tanpa sebarang rasa bersalah.” Dengan perasaan takut, beberapa orang sahabat beliau meninggalkan kafilah al Hussain(a). Imam Hussain tetap meneruskan perjalanan bersama para pengikut setia dan ahli keluarganya sehinggalah mereka bertemu secara berhadapan dengan 1000 orang tentera berkuda pimpinan Hur al Riyahi, yang mewakili pihak musuh. Kumpulan tentera ini menghalang kafilah Imam Hussain(a) dari meneruskan perjalanan. Ketegangan mula meningkat di antara kedua kumpulan. Imam Hussain(a) menerangkan bahawa tujuan beliau menuju ke Kufah adalah atas pelawaan dan jemputan masyarakat Kufah. Beliau malah menunjukkan sebuah beg penuh dengan surat-surat dari mereka.

Al Hur mengatakan bahawa beliau dan orang-orang beliau bukanlah penulis surat-surat itu. Imam Hussain lalu berkata, jika mereka tidak menyukai pemergian mereka ke Kufah, maka beliau akan pulang semula ke Hijaz. Hur lalu menjawab: “Kami telah diarahkan untuk mengikuti kamu, sehingga kami membawa kamu berjumpa Gabenor Ibnu Ziyad.” Al Hur lalu mencadangkan Imam menuju ke satu tempat yang bukan Kufah atau Hijaz. Imam Hussain(a) mendapati cadangan itu adalah cadangan yang adil, lalu bergerak menjauhi Kufah. Hur dan tenteranya turut bergerak selari dengan kafilah Imam Hussain(a). Kedua pihak akhirnya sampai ke sebuah perkampungan bernama Neinawa, di mana utusan Ibnu Ziyad membawa pesanan kepada Al Hur. Pesanan itu berbunyi: “Paksa Hussain untuk berhenti. Biarkan dia berhenti di kawasan lapang, tanpa sebarang tumbuhan atau air.” Hur menyampaikan mesej itu kepada Imam Hussain. Imam, ahli keluarga dan para sahabatnya, membantah perintah itu dan meneruskan perjalanan sehingga satu lagi pasukan musuh memintas mereka dan memaksa mereka berhenti. Apabila Imam Hussain mendapat tahu bahawa tempat itu bernama Karbala, beliau merasakan telah sampai ke destinasinya, dan mengarahkan khemah-khemah didirikan. Hari itu adalah 2hb Muharram, tahun 61 hijrah.

Karbala

Setelah mendapat tahu bahawa pasukan tenteranya telah berjaya mengepung perkhemahan Imam Hussain, Ibnu Ziyad bertindak menghantar beberapa pasukan tentera tambahan, dan melantik Umar Ibnu Saad sebagai ketua pasukan. Imam Hussain memulakan dialog dengan Ibnu Saad dan berjaya meyakinkan beliau untuk membuka kepungan agar Al Hussain dan keluarganya dapat meninggalkan Iraq. Ibnu Saad menyukai idea Imam, dan menghantar pesanan kepada Ibnu Ziyad tentang hasil perbincangan itu. Idea Imam Hussain disukai oleh Ibnu Ziyad. Bagaimanapun, Shimr Ibn Zul Jaushan menentang dengan tegas idea itu. Oleh itu, Ibnu Ziyad menulis surat kepada Ibnu Saad memerintahkan beliau samada berperang dengan Hussain atau dilucutkan jawatan sebagai ketua pasukan perang.

Umar Ibnu Saad mendapat surat Ibnu Ziyad. Setelah memikirkan akibat dan pulangannya, beliau membuat keputusan untuk memerangi Imam Hussain. Pada 7 Muharram, beliau menggerakkan pasukan tenteranya dekat dengan perkhemahan Imam Hussain. Kepungan juga dilakukan bagi menghalang akses pihak Imam Hussain kepada sumberi air Sungai Furat, dalam rangka tindakan memaksa Imam Hussain menyerah diri.

2 hari kemudian, iaitu pada 9 Muharam, pasukan musuh bergerak menuju ke khemah Imam Hussain. Imam meminta adiknya, Abbas agar berunding dengan pasukan musuh, untuk menangguhkan pertempuran buat 1 malam. Ibnu Saad bersetuju dengan permintaan ini, dan mengarahkan tenteranya untuk memulakan pertempuran pada esok hari. Imam Hussain dan para pengikutnya yang setia dan soleh, menghabiskan masa malam itu dengan solat. Imam Hussain berkata kepada mereka: “Pihak musuh hanya berminat denganku, hanya aku. Aku mengizinkan setiap seorang dari kalian untuk berpatah balik, dan aku menasihatkan kalian berbuat begitu.” Semua pengikut beliau berteriak dan memberi respon: “Demi Allah, tidak sama sekali. Samada kami hidup bersama atau mati bersama kamu.”


Asyura

Akhirnya, hari Asyura menyinsing ke atas tanah Karbala. Ini adalah hari di mana Jihad dimulakan, darah akan ditumpahkan, 72 nyawa orang yang tidak bersalah akan dikorbankan dan pertempuran untuk menyelamatkan Islam akan ditempuhi.

Telah pun berlalu beberapa hari sejak bekalan air telah disekat oleh pihak musuh. Kanak-kanak menangis untuk air, begitu juga dengan para wanita. Ali Zainal Abidin pula menghidap demam teruk ketika itu. Penderitaan akibat dahaga, tersangat menyakitkan untuk ditanggung oleh mereka. Namun begitu, tidak ada seorang pun dari mereka yang menyuarakan rungutan atau mempertikaikan misi Imam Hussain. Setiap ahli kafilah memberikan sokongan kepada Imam Hussain dengan sepenuh hati.

Pada pagi berikutnya, Imam Hussain keluar dari khemah beliau, dan melihat Umar Ibn Saad menggerakkan tenteranya untuk memulakan pertempuran. Beliau memandang kepada gerombolan besar tentera itu, namun tiada tanda-tanda kompromi terlihat pada wajah beliau. Cucunda Rasulullah(s) lalu mengangkat tangannnya lantas berdoa:

“Ya Allah! Hanya kepada Mu aku percayai di samping segala kesusahan ini. Kau adalah harapanku di samping segala keganasan. Kau adalah pelindung dan pemberi rezeki dalam segala yang terjadi kepada ku. Berapa banyak kesedihan yang melemahkan hati, meninggalkan ku dalam keadaan tanpa jalan untuk menyelesaikannya, yang mana para sahabat meninggalkan ku, dan para musuh bergembira dengannya. Aku hadapkan segalanya pada Mu, dan mengadu pada mu, kerana keinginanku adalah pada Mu dan hanya pada Mu. Kau melegakan ku dan membuangnya dari ku. Kau adalah Tuan segala Rahmat, sumber segala kebaikan dan Pengabul segala permintaan.”

Sebelum pertempuran sebenar bermula, Al Hur, komandan pasukan berkuda tentera musuh, sedang mengalami satu konflik di dalam hatinya. Beliau sedar, dengan siapa beliau akan bertempur dan pada siapa pedangnya akan diacukan, tidak lain dan tidak bukan, Penghulu para pemuda di Syurga, raihan Rasulullah(s), dan Ahlul Kisa yang disucikan oleh Allah swt dengan sesuci-suci pembersihan. Menyedari tindakan beliau akan membuatkan beliau ditempatkan di Jahannam, lantas beliau memicu kudanya, pantas, bergerak ke pihak Imam Hussain. Beliau bertanya kepada Imam: “Masihkah ada taubat untuk ku, wahai maula ku?” Lantas Imam Hussain menjawab secara positif. Hati Al Hur melompat kegembiraan, walaupun beliau tahu, tiada nasib berada di pihak Hussain melainkan nasib kematian.

“Pengkhianatan” Hur sangat merisaukan Ibnu Saad. Beliau mengetahui hati ramai para tenteranya berbelah bahagi untuk memerangi cucunda Rasulullah(s). Demi menghalang lebih ramai orang berpaling tadah, beliau melepaskan panah ke udara sebagai tanda pertempuran di mulakan.Maka bermulalah satu pertempuran yang pada hakikatnya bukanlah pertempuran yang adil, tetapi lebih mirip kepada pembunuhan beramai-ramai keluarga dan keturunan Sayyidul Mursalin. 72 orang melawan hampir 40,000 pasukan musuh. Kebaikan menentang kejahatan.

Pertempuran Bermula

Jika mahu menceritakan secara terperinci, kepahlawanan setiap individu pada hari tragis ini, maka ia memerlukan sebuah kitab terperinci mengenainya. Kitab-kitab tarikh terkenal ulama silam banyak menceritakan secara menyeluruh tentang hari ini.

Para pengikut Imam Hussain, mendesak agar mereka dahulu yang akan bertempur. Oleh itu, mereka adalah barisan pertama yang menerima tetakan musuh. Pertempuran yang sangat sengit berlaku. dalam masa yang singkat, pengikut Imam Hussain berjaya membunuh ramai pahlawan musuh, mereka berada di posisi ofensif manakala pihak musuh di posisi defensif. Risau dengan perkara ini, Ibnu Saad mengarahkan khemah Imam Hussain yang didiami oleh para wanita dan kanak-kanak yang ketakutan dibakar, dan lebih ramai tentera diarahkan menyerang.

Para wira semakin penat, dan satu per satu mula terkorban. Mereka adalah lelaki berani yang begitu gembira menyambut syahadah di jalan Islam. Tiada penyesalan di hati mereka, demi mempertahankan jalan suci ini. Apabila tengah hari menjelma, Imam Hussain menghentikan pertempuran untuk bersolat Zuhur. Di waktu ini, hanya tinggal beberapa orang sahaja lagi dari kalangan ahli keluarga dan pengikut beliau. 2 orang pengikut Hussain berdiri menjaga mereka yang bersolat. Pihak musuh mengambil kesempatan dengan menghantar pasukan berkuda, untuk memanah dari jauh, menganggu perjalanan solat itu. Apabila selesai sahaja solat, syahidlah salah seorang dari dua itu, dengan 17 panah melekat di badannya.

Ali Akbar, anak kepada Imam Hussain, mendapat kebenaran untuk untuk bertempur, dan lantas memecut ke arah pihak musuh. Beliau melawan mereka dengan satu pertempuran yang sengit dan sepantass kilat, membunuh ramai dari mereka. Beliau terus mara ke hadapan, lebih ke dalam barisan pihak musuh. Pihak musuh berjaya melemahkan beliau dengan bilangan mereka yang ramai. Akhirnya badan Ali Akbar sudah tidak dapat dikenali melainkan dengan satu susuk tubuh yang penuh dengan luka berdarah, keluar dari badannya. Imam Hussain memacu kudanya ke tempat gugur anaknya, dan membawa pulang jasad suci syuhada ke khemah miliknya. Kakaknya dan yang lain terkejut ketakutan melihat pemandangan ngeri tersebut.

Kemudian tibalah giliran Abbas dan 5 lagi saudara Hussain untuk bertempur. Mereka juga terlibat dalam satu pertempuran yang sangat sengit, dan telah melakukan perkara yang mustahil dengan melihat kepada bilangan musuh yang ditentang. Abbas telah ditugaskan untuk mengambil air di sungai Furat untuk anak-anak kecil yang menangis kehausan. Setelah mengharungi dan mencantas puluhan kepala ahli neraka, Abbas berjaya sampai ke Sungai Furat. Merasai kedinginan air sungai itu, terdetik di hati Abbas yang kehausan untuk meneguk seteguk dua air bagi melegakan penderitaan beliau. Namun apabila mengingatkan cucunda Rasulullah yang sudah 3 hari tidak meneguk air, beliau membatalkan hasratnya dan bergegas menaiki kudanya untuk pulang ke perkhemahan Imam Hussain. Malangnya dalam perjalanan itu, beliau telah dihalang oleh sekumpulan besar tentera musuh, mengepung dan mencederakan beliau. Abbas terjatuh dari kuda, dengan kecederaan yang parah, beliau masih mencuba sedaya upaya membawa pulang kantung air untuk mereka yang memerlukan. Jahat sekali musuh Allah, panah telah ditembak menembusi kantung itu, dan pedang musuh membuatkan beliau menghembuskan nafas nya yang terakhir. Maka berakhirlah nyawa seorang yang dahaga, demi mereka yang dahaga.

Al Hussain dan anak kecilnya

Tiba sahaja waktu tengahari, nyawa 70 orang telah pun habis dikorbankan untuk Islam. Kesemua mereka bertempur dalam keadaan yang sangat menyeksakan, dahaga yang teruk, kepenatan dan perasaan yang sangat menyedihkan tentang apa yang akan terjadi kepada keluarga Nabi(s) selepas kematian mereka. Imam Hussain menahan dugaan yang paling besar kerana beliau melihat kesemua mereka mati seorang demi seorang. Sebagai seorang yang terakhir, maka beliau sudah bersiap sedia untuk bertempur dengan musuh. Pada ketika itu juga, beliau terdengar tangisan anak kecilnya, yang diakibatkan oleh dahaga yang memedihkan. Susu ibu mereka sudah kehabisan akibat sekatan air sejak beberapa hari yang lepas. Rasa kasih sayang dan cinta beliau kepada keluarga beliau, tidak dapat digambarkan. Beliau lalu mendukung bayi berusia 6 bulan, anak beliau yang termuda, Ali Asghar,dan merayu kepada pihak musuh agar memberi sedikit air kepada bayi itu. Imam menerangkan bahawa yang dimahukan oleh pihak musuh adalah nyawa beliau seorang, maka berbelas kasihanlah pada bayi yang tidak bersalah itu. Imam Hussain sedang cuba membangkitkan kesedaran moral dalaman pihak mush. Malang sekali, barisan tentera musuh yang berhati batu ini, tidak memberi sedikit pun air, malah panah dilepaskan kepada bayi itu, serta merta membunuhnya. Imam Hussain terkejut. Kematian bayinya di tangan beliau sangat menyakitkan beliau. Beliau mengumpulkan darah anaknya di genggaman tangannya, dan membalingnya ke langit sambil berdoa:

“Ya Allah, hati ku hanya tenang kerana mengingatkan bahawa Kau di Arash mu sedang melihat semua ini.”

Pertempuran Al Hussain

Imam Hussain bersendirian, menentang ribuan. Tanpa sebarang keraguan dan penyesalan, beliau bertempur dengan berani, puluhan dibunuh, dan puluhan juga luka yang diterima. Ribuan musuh mengelilingi beliau, namun seorang pun tidak berani menyerang. Suasana senyap ini dipecahkan oleh pekikan Shimr mengarahkan serangan. Tersentak dengan pekikan itu, mereka menyerang serentak. Tetakan sebilah pedang mengenai pinggang kirinya, serta tangan kirinya. Darah membuak-buak keluar ibarat mata air keluar dari tanah. Sebilah lagi pedang dilayangkan menetak belakangnya. Imam Hussain kepitaman dan jatuh ke tanah, dengan pendarahan yang sangat serius. Dalam keadaan yang teruk ini, beliau masih cuba untuk berdiri dengan pedangnya, Dzulfiqar. Ketika inilah satu lagi tetakan mengenai beliau, dan pergilah cucunda Rasul(s) ini menemui datuknya(s) di tempat yang kekal abadi.

Shimr, yang mana ibunya adalah orang kafir, datang ke hadapan, memegang kepala Imam Hussain dan menyembelihnya, seperti mana penyembelih kambingnya. Terpisahlah kepala suci yang kerap dikucup Rasulullah(s) dari badannya yang kerap dipikul, didukung oleh Rasulullah(s)! Keberanian Shimr semakin terserlah apabila dengan berani memacakkan kepala Sayyidus Syuhada pada tombak dan membawanya kepada Yazid, 600 batu di Damaskus.

Umar Ibn Saad turut membuat sumbangan dengan mengarahkan tentera berkuda memijak-mijak jasad para Syuhada, yang tidak ada lagi darah dalam badan mereka, untuk mencacatkan tubuh-tubuh mereka.

Selama 3 hari, jasad-jasad ini terbiar di tanah Karbala. Hanya setelah itu, orang-orang dari Bani Asad, yang tinggal tidak jauh dari tempat pertempuran, datang membantu mengebumikan mereka.

Umar Ibn Saad dan tenteranya, yang mewakili kerajaan Bani Umayyah, mengambil para wanita dan kanak-kanak sebagai tebusan. Tangan mereka digari, dan diarak dari Karbala ke Kufah. Di hadapan “perarakan” ini adalah kepala Imam Hussain dan para syuhada, yang diangkat terpacak pada tombak-tombak. Ia adalah satu pemandangan yang menjijikan dan memalukan. Inilah saki baki peninggalan keluarga Nabi(s) kita, Muhammad(s), akibat perbuatan mereka yang mengaku sebagai orang Islam.

Pengajaran Tragedi Karbala

Karbala merupakan tragedi yang paling kejam dalam sejarah manusia. Bagaimanapun, ia boleh diibaratkan sebagai satu gempa bumi, yang memberi kejutan besar kepada kaum Muslimin di zaman itu sehingga sekarang, menyedarkan mereka tentang kebenaran dan kebatilan. Bagi seorang Muslim yang ikhlas, Karbala adalah satu tragedi yang membawa kejayaan kepada pihak kebenaran, kejadian yang sentiasa mengingatkan mereka untuk mengamalkan Islam dengan penuh keikhlasan, menegakkan kebenaran tanpa mengira apa pun akibatnya, dan tidak takut kepada sesiapa pun, selain Allah swt. Nyawa kita adalah milik Allah, dan kepadaNya, kepada jalanNya, patut kita korbankan, tanpa sebarang keraguan.

Di satu pihak lagi, Yazid tidak pernah mencapai apa yang diinginkannya, dan oleh keluarga Bani Umayyah, dalam masa 3 tahun, Tuhan sudah menarik nyawanya ketika beliau berusia 33 tahun. Kerajaan Bani Umayyah pula runtuh dalam masa beberapa dekad, akibat revolusi yang juga kononnya, membela nasib para keturunan Nabi(s). Jika mahu diceritakan pengajaran Karbala, maka ia tidak akan pernah habis. Cukuplah bagi mereka yang berfikir.

Rujukan:

  • Kitab al Bidayah wa an Nihayah
  • Tarikh al Khulafa
  • Tarikh Thabari
Dipetik dan diedit daripada blog : Ibnu Azmi

Jom Baca!